/** code highlight **/ /** code highlight **/
S.M.A.H.
Pesanan untuk kaum wanita

Terlebih dahulu ana ingin memohon maaf jika penulisan ana ini bakal mengguris hati anda. Keadaan sekarang ini sangatlah teruk kerana majoriti wanita Islam yang tidak menjaga batas-batas mengikut apa yang disyariatkan dalam Islam. Antara yang paling teruk adalah berkaitan aurat dan tidak dinafikan ada lagi yang terlebih teruk dari itu. Tapi pada saat dan ketika ini, ana terasa ingin mengarang tentang hal ini agar sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada pembaca semua, insyaAllah.

Banyak sangat wanita Islam yang tidak menjaga aurat sekarang ini. Mereka mengaku Islam, tetapi mereka tidak mengikut apa yang diperintahkan. Hal inilah salah satu punca yang menyumbangkan kepada berlakunya kes rogol,kes zina,kes buang bayi dan sebagainya. Alangkah indahnya dunia jika semuanya mengikut ajaran Islam yang disampaikan oleh Nabi kita Nabi Muhammad s.a.w. Sesungguhnya keruntuhan akhlaq kanak,remaja bermula dari kekurangan didikan agama terhadap mereka. Namun, hidayah itu milik Allah dan Dia boleh memberikannya kepada sesiapa saja yang dikehendakiNya, jadi jangan berputus asa memohon hidayahNya.

Tidakkah kamu tahu wahai kaum wanita Islam bahawa kamu adalah golongan yang dimuliakan oleh Allah? Tidakkah kamu tahu bahawa kaum wanita paling mudah untuk memasuki syurga Allah? Seperti sabda Nabi s.a.w:

“Wanita yang solehah lebih baik dari 1000 lelaki yang soleh”
“Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.”

Akan tetapi, kaum wanita akan dimasukkan ke neraka kerana tidak menjaga aurat, seperti sabda Nabi s.a.w:

“Dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Ada dua macam penghuni neraka yang kedua-duanya belum pernah aku lihat. 1) Kaum yang memiliki cambuk seperti ekor lembu, yang digunakannya untuk memukul orang. 2) Wanita-wanita berpakaian tetapi sama juga bertelanjang kerana pakaiannya terlalu minimum,telalu nipis atau tembus pandang, terlalu ketat, atau pakaian yang merangsang lelaki kerana sebahagian auratnya terbuka, dan wanita-wanita yang mudah dirayu atau suka merayu, rambut mereka disanggul bagaikan bonggol unta. Wanita-wanita tersebut tidak dapat masuk syurga, bahkan tidak dapat mencium bau syurga. Padahal bau syurga dapat tercium dari jarak yang sangat jauh.” (Hadis Riwayat Muslim)

Diantara suruhan menjaga aurat dengan firman Allah:

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (An-Nuur 24:31)


“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Ahzaab 33:59)

Ana cuma ingin memberi nasihat, kasihan dengan saudara seislam.
“Dari Abu Sa'id Al-Khudry r.a berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa diantara kamu sekalian melihat kemungkaran maka hendaklah ia merubahnya dengan tangannya, bila ia tidak mampu maka hendaklah ia merubahnya dengan lisannya, bila ia tidak mampu maka hendaklah ia merubahnya dengan hatinya, dan itu adalah selemah-lemah iman.” (Hadis Riwayat Muslim)
“Dari Anas r.a, dari Nabi s.a.w, baginda bersabda: Tidaklah sempurna iman salah seorang di antara kamu sekalian sebelum ia mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi diri sendiri.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Wallahua'lam.