/** code highlight **/ /** code highlight **/
S.M.A.H.

Bahaya Berdebat
(Diambil dari kitab Ihya Ulumuddin)


Ketahuilah dan yakinlah bahawa perdebatan yang diadakan dengan tujuan mencari kemenangan, menundukkan lawan, melahirkan kelebihan dan kemulian diri, membesarkan mulut di muka orang ramai, ingin kemegahan dan kebebasan serta ingin menarik perhatian orang, adalah segala sumber yang tercela pada Allah dan terpuji pada Iblis. Ia menjurus kepada sifat kekejian batin seumpama takbur, 'ujub, dengki, ingin dimuka, menyangka diri bersih, suka kemegahan dan lain-lain.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:
“Dengki itu memakan yang baik seperti api memakan kayu kering.” (Diriwayatkan oleh Abu Daud)

Seorang pendebat tidak terlepas dari sifat dengki. Kerana dia sekali menang, sekali kalah. Sekali kata-katanya dipuji orang dan sekali kata-kata lawannya dipuji orang. Selama di dunia ini ada orang yang dipandang lebih banyak ilmunya dan pemandangannya atau disangka lebih cakap dan lebih kuat pemandangannya, maka selama itu pula, ada orang yang dengki kepadanya mengharap nikmat itu hilang dan berpindah kepada orang yang dengki itu.

Dengki adalah api yang membakar. Orang yang menderita penyakit dengki, di dunia beroleh azab sengsara dan di akhirat lebih hebat dan dahsyat lagi. Kerana itulah, berkata Ibnu Abbas r.a:
“Ambillah ilmu pengetahuan di mana saja kamu dapati. Dan janganlah kamu terima perkataan fuqaha', kerana diantara sesama mereka itu berselisih satu sama lainnya, seperti berselisihnya kambing-kambing jantan dalam kandang.”

Orang-orang berdebat itu memerlukan kepada sifat nifaq. Kerana apabila bertemu dengan lawan, pencinta-pencinta lawan dan golongan lawan, maka tiada jalan lain, selain dari melahirkan kata persahabatan dengan lisan, kata kasih sayang dan memuji-muji kedudukan dan keadaan lawan.

Hal itu disedari oleh si pembicara dan yang dihadapkan pembicaraan itu kepadanya, bahkan oleh seluruh yang mendengar bahawa itu bohong, dusta, nifaq dan zalim. Kerana berkasih sayang dengan lisan, berdendam kesumat dalam hati.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:
“Apabila manusia mempelajari ilmu dan meninggalkan amal, berkasih-kasihan dengan lisan dan bermarah-marahan dengan hati, serta berputus-putusan silatur rahim, maka kenalah kutukan Allah ketika itu. Ditulikan telinganya dan dibutakan matanya.” (Diriwayatkan oleh At-Thabrani)
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:
“Barangsiapa meninggalkan perdebatan sedang dia di pihak yang salah, maka dibangun Allah baginya sebuah rumah dalam perkampungan syurga. Dan barangsiapa meninggalkan perdebatan sedang dia di pihak yang benar, maka dibangun Allah baginya sebuah rumah dalam syurga tinggi.” (At-Tirmidzi & Ibnu Majah)

Sungguh pandai musuh-musuh islam nak melagakan ummat islam, dengan membawa ilmu berdebat ini ke alam persekolahan. Jadi, marilah sama-sama kita memperbaiki diri.
Wallahua'lam.
0 Responses

Post a Comment